
KUALA TERENGGANU, 25 Februari– Seorang lelaki yang menaiki motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Terengganu.
- Penunggang motosikal berkuasa tinggi, Muhammad Anuar Hashim, maut selepas melanggar sisi kanan sebuah pacuan empat roda.
- Kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu wanita 51 tahun keluar tiba-tiba dari simpang kiri laluan mangsa.
- Jarak terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan terhimpit kecederaan parah di lokasi.
- Mayat dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi tadi mangsa, Muhammad Anuar Hashim, 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor dalam kenyataan berkata siasatan awal mendapati nahas melibatkan motosikal mangsa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kuala Terengganu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Setiu menghala ke sebuah kedai plastik di Wakaf Tembesu,” kata kenyataan itu.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 51 tahun secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kiri laluan mangsa.
Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan tersebut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat manakala punca kematian masih dalam proses kemas kini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.