fb fb fb fb fb

Nahas helikopter: Mendiang Joanna kebanggaan keluarga

Keluarga mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna

SERIAN, 24 April- "Tetap bangga walau terkorban di usia muda", itu luahan rasa bapa saudara Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas di Lumut Perak semalam.

Bagi Johny Mayi, pemergian anak saudara tersayangnya itu semasa bertugas adalah satu pengorbanan besar untuk negara.

Ditemui RTM di Kampung Sumpas Tampek, Serian pagi tadi katanya lagi sepanjang hayatnya, mendiang dikenali sebagai wanita lasak.

"Mendiang seorang yang tegas, tetapi suka bergurau dengan ahli keluarga dia,"katanya.

Bagi adiknya pula, Honey Vivianne pemergian kakaknya bagaikan hilang tempat mengadu.

Sungguhpun kagum akan kerjaya kakaknya, insiden semalam serba sedikit menimbulkan sedikit trauma di hatinya yang bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah kakaknya.

Namun, paling terkesan dengan pemergian mengejut Joanna, sudah pasti neneknya, Rindung Milo yang menjaganya sejak kecil.

Jelas Rindung, mendengar berita kematian cucunya itu bagaikan mimpi ngeri buatnya.

"Saya seakan hendak pengsan bila mendapat berita kemalangan helikopter itu, saya menangis, tidak dapat terima cucu saya sudah tiada,"katanya.

Mereka sekeluarga dibawa ke kampung suami Joanna di kampung Engkeruh bagi urusan pengkebumian hari ini.

Dalam pada itu, Johny turut menghargai kerjasama yang diberikan Angkatan Tentera Malaysia, ATM dalam membantu mengendalikan urusan membawa pulang dan pengkebumian mendiang Joanna.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE