fb fb fb fb fb

Nabil, Azad dan Radin jadi 'penguatkuasa' Maritim Malaysia

Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy menjadi ‘penguatkuasa’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini/Foto Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 31 Ogos - Tiga selebriti terkenal, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir Affendy, menarik perhatian ramai apabila tampil sebagai ‘penguat kuasa’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam uniform celoreng digital sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, kehadiran mereka menjadi elemen kejutan bagi menonjolkan peranan Maritim Malaysia sebagai sebuah pasukan keselamatan barisan hadapan di Zon Maritim Malaysia.

"Kehadiran ketiga-tiga selebriti berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada golongan belia dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta akan negara.

Selain itu, pesona yang ditampilkan oleh mereka diharapkan dapat menarik minat golongan belia untuk menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hadir sama pada sambutan berkenaan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu seawal 6.30 pagi Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1 dan Bot Petir 83 telah menjadi tarikan orang ramai apabila kelibat ketiga-tiga selebriti berkenaan dilihat berada di atas aset milik Maritim Malaysia itu dengan berpakaian penguat kuasa Maritim Malaysia.

Selain menghasilkan kandungan media sosial sempena Hari Kebangsaan Ke-67, ketiga-tiga selebriti berkenaan juga mengadakan sesi bertemu dan beramah mesra bersama peminat.

Mereka juga mengedarkan cenderahati Maritim Malaysia kepada orang ramai yang hadir ke sambutan tersebut.

Kemeriahan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini turut diwarnai denganpenyertaan Mobile Surveillance Unit (MSU) yang merupakan sistem pengawasan bergerak milik Maritim Malaysia di samping sebuah aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin yang turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

Bukan itu sahaja seramai 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Maritim Malaysia turut menyertai perbarisan bersama lebih 80 kontinjen lain bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN