fb fb fb fb fb

Jabatan Perhutanan Sabah johan perbarisan Hari Kebangsaan di Sabah

KOTA KINABALU, 31 Ogos - Jabatan Perhutanan Sabah sekali lagi mencatatkan kejayaan gemilang apabila Pasukan SFD PROTECT berjaya merangkul gelaran juara dalam acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Kejayaan ini menandakan kali kelima Jabatan Perhutanan Sabah meraih gelaran juara, setelah sebelumnya memenangi perbarisan sempena sambutan hari jadi rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah selama tiga tahun berturut-turut pada 2021, 2022, 2023, serta Hari Kebangsaan pada 2022 dan 2024.

"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan semangat dan komitmen yang tinggi tetapi juga menjadi inspirasi kepada jabatan lain dalam pelaksanaan tugas mereka," menurut hantaran Jabatan Perhutanan Sabah di Facebook hari ini.

Dalam kategori Sekolah Rendah dan Menengah, SMK Putatan dan SK Sri Gaya Kota Kinabalu masing-masing dinobatkan sebagai pemenang.

Sementara itu, Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu berjaya memenangi kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan, dan Komander Kesatria Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah turut meraih johan dalam kategori tersebut.

3108 SABAH JOHAN 2Jabatan Perhutanan Sabah juara perbarisan (Kategori Berpakaian Seragam Rasmi) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dan Hari Sabah 2024

Pemenang lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd yang menjuarai kategori Swasta/Komersial, Persatuan Rumpun Bajausama Sabah dalam kategori Pertubuhan Etnik Sabah, serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang memenangi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Rasmi.

Perasaan bangga dan gembira jelas dirasai oleh ahli pasukan Jabatan Perhutanan Sabah.

"Perasaan memang mendebarkan, dengan latihan yang singkat kerana kesibukan masing-masing, tetapi sekarang kami sangat gembira," kata Riwaldo Samsudin, wakil Jabatan Perhutanan Sabah.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), Murad Abdul Rashid, turut melahirkan penghargaan kepada pasukannya.

"Terima kasih atas kerjasama semua ahli pasukan atas disiplin dan komitmen yang ditunjukkan. Kejayaan ini hasil latihan yang serius dan kerja berpasukan bersama jurulatih kami," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN