fb fb fb fb fb

Masyarakat diingatkan tidak terjebak sindiket dokumen palsu

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto RTM

KUALA NERUS, 31 Ogos - Masyarakat diingatkan agar tidak terjebak atau bersubahat dengan sindiket dokumen pengenalan palsu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat mengesan ketulenan dokumen berkenaan.

"Katakanlah klinik bersalin mengeluarkan sijil lahir palsu, sindiket mengenakan bayaran RM5,000 atau RM6,000. Dokumen tersebut mungkin boleh bertahan beberapa tahun, tetapi apabila anak mencapai umur 12 tahun dan perlu membuat MyKad, kami akan dapat mengesan apabila dokumen tersebut tidak terdapat dalam sistem.

"Banyak kes seperti ini telah kami temui. Oleh itu, kami sarankan agar elakkan memiliki dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh sindiket secara pemalsuan kerana ia tidak akan memberikan manfaat dan tidak boleh mengelak daripada rekod kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), di sini.

Pada majlis itu, seramai 41 penduduk di Pulau Redang menerima dokumen tersebut.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut menggesa orang ramai agar menghentikan spekulasi palsu yang mendakwa bahawa Kuala Lumpur tidak selamat untuk didiami atau dikunjungi.

Beliau menegaskan, tindakan menyebarkan maklumat tanpa sumber yang sah adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Biar pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka tanpa perlu komen secara tidak berautoriti dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab. Jika penyebaran berita palsu ini diteruskan, Polis Diraja Malaysia akan menggunakan setiap akta yang ada untuk menghentikan penyebaran dan tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Sementara itu, mengulas isu seorang bekas Timbalan Menteri yang didakwa terlibat dalam aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, Saifuddin berkata siasatan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.

Menurutnya, hasil Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan di Laos baru-baru ini memperakui bahawa trend pemerdagangan orang semakin meningkat.

Beliau berkata, hampir kesemua negara di ASEAN telah mempunyai undang-undang yang berkaitan untuk mengekang jenayah tersebut dan Malaysia mempunyai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

"Pihak polis akan memperhebatkan kempen supaya masyarakat tidak terjebak dalam perkara ini. Jika sudah terlibat, sudah tentu pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.

"Saya tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi dan saya meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada profesionalisme pasukan polis apabila mereka telah membuka fail mengenai perkara ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN