fb fb fb fb fb

MYAirline sasar capai 4.5 juta penumpang

(FOTO HIASAN)

KOTA KINABALU, 7 April- Syarikat penerbangan tambang rendah baharu, MYAirline menyasarkan untuk mencapai 4.5 juta bilangan penumpang menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, jumlah itu mampu dicapai menerusi pertambahan laluan baharu dan jumlah pesawat.

Setakat ini, 530,000 penumpang telah diterbangkan ke lapan laluan iaitu Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Kota Bahru, Penang, Tawau, Sibu dan Miri.

Daripada 3,204 penerbangan, 1,884 melibatkan destinasi Malaysia Timur.

Berdasarkan permintaan tinggi terutamanya bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, syarikatnya akan terus memfokuskan laluan ke Sabah Sarawak secara berperingkat.

"Kami akan meluaskan rangkaian dengan memberi tumpuan kepada wilayah ini. Seperti yang saya nyatakan, laluan Kota Kinabalu-Tawau adalah yang seterusnya akan diperkenalkan tidak lama dan lagi dan kami akan mempertimbangkan beberapa laluan lain dari semenanjung ke sini.

"Kemudian kami akan memberi tumpuan kepada operasi antarabangsa bawah fasa kedua. Manakala fasa ketiga kami akan meninjau potensi laluan intra Sabah, dan Sarawak juga serta ke Nusantara,"kata Rayner Teo.

Bercakap selepas sesi meja bulat di Kota Kinabalu, jelasnya Kinabalu-Tawau akan menjadi laluan kesembilan dikendalikan syarikat tersebut sejak beroperasi 1 Disember tahun lalu.

Syarikat itu juga berhasrat untuk meluaskan laluan ke destinasi luar negara antaranya Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand.


(Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo)

Media Baharu