KUANTAN, 29 Oktober - Kerajaan Pahang siap-siaga hadapi situasi banjir sepanjang fenomena Monsun Timur Laut (MTL) melalui penghantaran bekalan keperluan bencana ke 167 pangkalan hadapan seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pangkalan hadapan itu menyediakan barangan keperluan asas antaranya beras, gula, garam, sardin dan biskut.
Pengagihan akan dilakukan secara berperingkat ke 11 daerah terlibat.
"Insya-Allah semua bekalan ini akan sampai ke setiap destinasi dalam masa 17 hari, kita ada 11 daerah dan kita akan bermula dengan daerah Rompin, kita hantar ke bawah dulu kemudian bawa ke atas," katanya.
Daerah Temerloh mempunyai 33 PPS terbanyak diikuti Jerantut dan Kuantan masing-masing 20 PPS, Lipis (18), Rompin (15), Pekan (14), Maran (13), Bera (12), Raub (11), Bentong (8) dan Cameron Highlands (3).
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelepasan Misi Penghantaran Barang Keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang di Kuantan.
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula Januari depan.