fb fb fb fb fb

MTL: 1,100 sukarelawan APM Kedah sedia ditugaskan

Selain sukarelawan, 10 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dan pegawai bersekutu turut digerakkan / Foto RTM

ALOR SETAR, 27 Oktober - Seramai 1,100 anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam), Zairil Anuar Zulmuj berkata selain sukarelawan, 10 Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dan pegawai bersekutu turut bersedia untuk digerakkan.

Katanya, kekuatan logistik turut dipersiapkan melibatkan 38 kenderaan darat meliputi pacuan empat roda, lori, ambulan dan van serta 85 kenderaan air iaitu bot aluminium dan bot Sealegs yang sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

"Kita nasihatkan supaya orang ramai yang berada terutamanya lokasi-lokasi berisiko supaya sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling. Sentiasa peka dengan perubahan paras air di sekeliling rumah masing-masing dan peka dengan arahan demi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir dan sekiranya diarah berpindah mereka bersedia untuk berpindah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM dalam temubual khas berkaitan persediaan APM bagi menghadapi Monsun Timur Laut di MADA Ampang Jajar, di sini.

Tambah Zairil, APM turut memberi tumpuan kepada 260 kawasan yang sering berlaku bencana.

Katanya, antara kawasan yang aka diberi tumpuan termasuk di sepanjang Lembangan Sungai Kedah di Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena serta Lembangan Sungai Muda di Daerah Kuala Muda, Baling, dan Sik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN