fb fb fb fb fb

MPB cawangan Sibu eksport 928.67 metrik tan lada hitam, lada putih pada 2022

SIBU, 6 Januari- Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sibu telah mengeksport 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih pada tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sibu merupakan antara pengeluar terbesar lada di Sarawak.

Jelas beliau, Sibu memiliki kawasan tanaman lada seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil 3,402 orang.

"Kita berada pada kedudukan kelima dunia (dalam pengeluaran lada)...walaupun begitu, kualiti lada kita sentiasa dicari.

"Ada pasaran-pasaran tertentu memilih lada dari Sarawak...sebab itu kita perlu rancangkan pengeluaran lada kita untuk memenuhi pasaran-pasaran premium dan pasaran umum," katanya.

(Datuk Seri Fadillah Yusof)

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas melawat pejabat MPB Sibu hari ini.

Dalam pada itu, tahun lalu, MPB Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.5 juta bantuan lada kepada 346 pekebun kecil yang layak.

96 merupakan penerima Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) manakala 250 orang pula daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM).

Jelas Fadillah, kerajaan akan terus membantu menaiktaraf kehidupan para pekebun kecil lada di seluruh negara khususnya di negeri Sarawak, dan menyalurkan pelbagai bantuan.

Media Baharu