fb fb fb fb fb

MoU KPDN, Kementerian Perdagangan Turkiye manfaat penerokaan kerjasama

Foto Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perdagangan Republik Turkiye memperkukuh kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 11 Februari 2025.

MoU tersebut ditandatangani antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Perdagangan Republik Turkiye, Prof. Dr Omer Bolat, bersempena lawatan rasmi Presiden Republik Turkiye ke Malaysia.

Menerusinya, kedua-dua negara memanfaatkan penerokaan kerjasama untuk mendalami aspek keselamatan barangan, pendekatan pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan kepenggunaan dan harga barangan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam kenyataan berkata, ia kesinambungan daripada perbincangan dan usaha rintis yang disepakati bersama Menteri Perdagangan Turkiye semasa lawatan kerja beliau ke Turkiye pada September tahun lalu.

Ia turut meliputi kaedah pengurusan aduan serta mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan.

Bagi memastikan keberkesanan kerjasama yang dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa yang akan menggerakkan dan memantau pelaksanaannya.

Kewujudan kerjasama dan penubuhan jawatankuasa ini akan menjadi langkah tepat sekali gus memberikan faedah dan peluang kepada kedua-dua negara dalam berkongsi amalan terbaik, kepakaran, pengalaman serta pengetahuan untuk penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program dalam bidang yang telah dipersetujui.

Majlis pertukaran dokumen MoU disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

ROSLINA BINTI DIN