fb fb fb fb fb

MOTS mohon penerbangan tambahan semasa Tahun Baharu Cina, cuti sekolah

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUCHING, 12 Januari- Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bakal mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan untuk memohon penerbangan tambahan semasa  sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah akan datang.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin juga menasihatkan mereka yang ingin melakukan perjalanan dalam tempoh itu supaya merancang dan menempah tiket penerbangan mereka  lebih awal.

“Dengan menempah penerbangan awal mereka akan mendapat tambang penerbangan terbaik berbanding tempahan dibuat pada saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu, Lee berkata beliau menerima kunjungan delegasi daripada AirAsia dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di pejabatnya pada Rabu.

Menurutnya, semasa pertemuan itu beliau diberi taklimat mengenai prestasi operasi AirAsia Sarawak pada 2023 dan perancangan mereka untuk 2024.

“Menurut AirAsia, kebanyakan muatan penumpang ke Sarawak adalah sangat baik dan dijangka berterusan pada 2024, kecuali bagi laluan Singapura-Miri dan Sibu, apabila AirAsia sedang dalam proses untuk menghentikan laluan pada Februari tahun ini kerana kerugian dialami syarikat itu mulai meningkat,” katanya.

Semasa perbincangan itu, Lee turut mencadangkan agar AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan bagi laluan Kuching-Jakarta kerana faktor penumpang semasa adalah baik.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI