fb fb fb fb fb

Motif gambir, lada hitam hias tengkolok Yang di-Pertuan Agong

Sultan Ibrahim/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Motif gambir dan lada hitam yang cukup sinonim dengan Johor buat pertama kalinya diangkat menghiasi tengkolok atau destar Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.

Kedua-dua motif itu merupakan komoditi yang popular pada era Sultan Abu Bakar dan disifatkan sebagai memberi tuah dan kekayaan kepada negeri itu.

Motif itu sehingga kini masih digunakan antaranya pada dokumen kerajaan, seni bina di bandar-bandar negeri itu termasuk Istana Johor.

Pada istiadat pertabalan ini Seri Paduka Baginda turut mengenakan bengkung songket berwarna hitam yang turut mengangkat motif sama.

Bagaimanapun tengkolok yang digunakan Seri Paduka Baginda masih mengekalkan seni lipatan Tengkolok Diraja 'Dendam Tak Sudah' seperti yang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Tidak sekadar menjadi pelengkap busana kebesaran Raja-Raja Melayu, tengkolok yang dihasilkan daripada kain songket berwarna hitam dan bersulam benang emas itu mempunyai falsafah, lambang dan simbol tersendiri.

Tengkolok 'Dendam Tak Sudah' yang berasal dari Negeri Sembilan itu membawa maksud tersirat dan berkait rapat dengan kehidupan serta fitrah manusia.

Di tengah-tengahnya terdapat lambang anak bulan dan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih, simbolik lambang kekuasaan dan kedaulatan. - BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI