fb fb fb fb fb

MOTAC tetapkan sasaran baharu kehadiran 9.2 juta pelancong tahun ini

(Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada majlis 7th Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events
Week 2022 di ibu negara)

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 9.2 juta kedatangan pelancong ke Malaysia bagi tahun 2022.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sasaran baharu itu mampu meningkatkan pendapatan negara menerusi pelancongan dengan anggaran pendapatan RM26.8 billion bagi suku tahun keempat.

Tambahnya lagi, sasaran ini mampu dicapai berdasarkan situasi semasa perkembangan positif industri pelancongan yang mana lebih banyak negara melonggarkan syarat keluar dan masuk.

“Pencapaian ini hanya boleh dilakukan dengan inisiatif dan insentif yang giat, termasuk membawa masuk delegasi antarabangsa melalui acara perniagaan ke negara kita sejak pembukaan semula sempadan dan pelonggaran sekatan bagi kemasukan pelawat,” kata beliau pada majlis 7th Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week 2022, di sini hari ini.

Nancy berkata seperti segmen pelancongan lain, acara perniagaan itu tidak dinafikan telah merangsang perniagaan untuk syarikat berkaitan hospitaliti.


(Foto fail)

Berdasarkan kajian yang disokong oleh pengalaman antarabangsa, pengunjung acara perniagaan berbelanja tiga kali lebih tinggi daripada purata pelancong dan mempunyai kesan pengganda yang besar.

Sebelum ini, hasil pencapaian sasaran awal ketibaan pelancong mencatatkan jumlah sebanyak 3.21 juta dengan nilai pendapatan pelancongan sebanyak RM9.35 bilion bagi Januari hingga Julai 2022.

Pencapaian ini berjaya dihasilkan melalui beberapa inisiatif utama yang dilakukan oleh MOTAC semenjak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April yang lalu.

Pada tahun 2019, sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, sektor pelancongan mencatat kadar ketibaan pelancong tertinggi iaitu 26.1 juta orang yang menyumbang pendapatan sebanyak RM86.1 bilion ringgit.

Media Baharu