MOTAC teliti strategi promosi pelancongan, fokus pasaran baharu

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man/RTM

LANGKAWI, 23 Mac – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan pandangan pemain industri bagi mengatasi cabaran semasa sektor pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengubah fokus promosi dari pasaran Asia Barat kepada Asia Timur.
  • Kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan pelaksanaan berkesan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Sambutan Hari Raya dan ketibaan pelancong dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
  • Inisiatif TMM2026 mempromosi Malaysia sebagai destinasi berbudaya yang menawarkan pengalaman bermakna kepada pelawat.

Antara yang dipertimbangkan termasuk mengubah fokus promosi daripada pasaran Asia Barat kepada Asia Timur.

Timbalan Menteri MOTAC, Chiew Choon Man berkata, perbincangan turut diadakan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut beliau, pihak kementerian sentiasa memantau situasi semasa serta bersedia mengambil langkah sewajarnya berdasarkan maklum balas industri.

“Kementerian seni dan budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia telah ambil langkah pantas untuk berjumpa bertemu dengan semua penggiat industri dan pemegang taruh untuk dengar pandangan dan cadangan mereka bagaimana dapat atas cabaran kali ini. Motac sentiasa memantau untuk memastikan langkah sewajarnya akan diambil kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Sambutan sama turut diadakan di sembilan lapangan terbang utama seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Inisiatif itu merupakan antara strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah kempen TMM2026 bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi berbudaya dan menawarkan pengalaman bermakna kepada pelawat.