fb fb fb fb fb

MOTAC perkasa kempen Melawat Malaysia 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Februari-Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merangka pelbagai strategi bagi memperkasa Kempen Melawat Malaysia 2026 atau VM2026, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa sekali gus merancakkan ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, antara tumpuan utama adalah menggalakkan pelawat harian untuk bermalam dengan menawarkan pakej istimewa seperti Midnight Sales di Johor Bahru.

Tempoh penginapan pelancong juga dijangka dapat dipanjangkan melalui pengalaman budaya dan ekopelancongan, selain memperkasa komuniti setempat serta penambahbaikan infrastruktur.

MOTAC turut mempromosikan pelancongan khusus termasuk pelancongan kesihatan, golf dan gastronomi bagi menggalakkan perbelanjaan pelancong.

"MOTAC juga menyediakan geran kepada penggiat industri pelancongan iaitu geran sokongan sektor perlancongan GSSP, geran sokongan sektor kebudayaan GSSK.Geran Galakan Melancong Malaysia dan geran sokongan Penerbangan Antarabangsa dan Carta GSPC untuk mempergiatkan lagi promosi pelancongan di dalam ataupun di luar Negara", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse dalam Dewan Rakyat hari ini

Setakat ini, MOTAC mencatat kejayaan awal apabila jumlah pelawat antarabangsa tahun lalu mencecah 38 juta orang, melebihi sasaran asal 35.6 juta.

Sehubungan itu, sasaran baharu bagi VM2026 sedang dikaji semula.

Jelasnya, MOTAC turut merancang memperluaskan penganjuran Midnight Mega Sales ke tiga hingga lima lokasi baharu di seluruh negara tahun ini, selain memperkenalkan Pesta Makanan di setiap negeri bagi merancakkan industri pelancongan tempatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD