fb fb fb fb fb

MOT terima 243 permohonan program peralihan lesen kelas B

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah melancarkan Program Komuniti Selamat di Jalan Raya di Felda Ulu Belitong, Kluang

KLUANG, 8 Oktober - Kementerian Pengangkutan menjangkakan pendaftaran program khas peralihan lesen dari kelas B2 ke B penuh akan terus meningkat selepas program itu bermula sejak 1 Oktober lalu. 

Timbalan Menteri Datuk Hasbi Habibollah berkata, biarpun baru seminggu pendaftaran dibuka, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima sebanyak 243 pendaftaran tersebut di seluruh negara. 

Mengikut data JPJ sebanyak 3.3 juta daripada 9.32 juta pemegang lesen kelas B1 dan B2 layak mendaftar ke program itu di 139 institut memandu di seluruh negara. 

"Kalau di seluruh negara yang telah berdaftar di institut memandu lebih kurang 243 orang, angka ini akan berterusanlah," kata Hasbi kepada pemberita selepas Program Komuniti Selamat di Jalan Raya di Felda Ulu Belitong, di sini.

Langkah itu merupakan salah satu usaha kerajaan memperkukuhkan budaya keselamatan jalan raya dalam komuniti tempatan dalam mencapai penurunan kematian nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Pada Rabu lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilapor berkata syarat program khas berkenaan yang bermula 1 Oktober tahun ini dilonggarkan serta-merta ekoran keluhan orang ramai yang tidak layak menyertainya.

Bagaimanapun, Aedy Fadly pada Jumaat lepas dilapor berkata orang ramai dinasihat agar menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak JPJ dan polis terlebih dahulu bagi melayakkan mereka menyertai program khas itu meskipun kelonggaran syarat telah diberikan.

Sementara itu, Hasbi berkata mengikut Jabatan Kerja Raya (JKR) Jalan Kota Tinggi-Kluang di Seksyen 4.3 di sini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya.

Beliau berkata menurut data yang dikongsikan oleh Pejabat FELDA Ulu Belitong, seramai 104 peneroka telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan terbabit antara tahun 2022 hingga 2023.

"Melihat angka ini, jelas bahawa penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan dalam kalangan komuniti setempat di samping mendidik pengguna agar mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya," katanya.

TETITIA YUSOFF