fb fb fb fb fb

MOT sasar 10 peratus peralihan kargo jalan raya ke rel, tingkat kecekapan logistik

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 30 Oktober - Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya ke rel dalam usaha memperkukuh daya saing dan kecekapan sektor logistik negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sasaran itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘road to rail’ yang menjadi antara agenda utama dibincangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata langkah itu akan memberi impak besar kepada struktur logistik negara, termasuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

"Peralihan kepada pengangkutan real menawarkan pelbagai manfaat kepada ekonomi dan rakyat. Selain daripada mengurangkan kesesakan, inisiatif ini menjadikan kos menjalankan perniagaan oleh pemain industri logistik semakin kompetitif melalui opsyen yang tersedia.

Bagi merealisasikan inisiatif tersebut, Loke berkata antara projek yang akan dilaksanakan termasuk sambungan landasan sisi di Terminal Kontena North Butterworth, naik taraf landasan Pasir Mas-Rantau Panjang serta depot di Padang Besar.

Selain itu, MOT turut menambah baik ketersambungan awal dan akhir dengan menambah lokomotif serta gerabak baharu melalui model pajakan, membangunkan terminal hab kargo baharu, dan membina sambungan landasan ke kawasan strategik.

"Antaranya ialah menambah bilangan lokomotif dan gelabak melalui model pajakan membangunkan terminal hab kargo baru dan membina sambungan spur line ke kawasan strategik bagi menampung keperluan sektor logistik", katanya sambil menambah bahawa inisiatif itu telah menerima sokongan daripada persatuan pengangkutan.

“Walaupun ada peralihan kepada rel, sektor pengangkutan jalan raya tetap memainkan peranan penting, terutama bagi penghantaran awal dan akhir. Kita mahu kedua-dua mod ini saling melengkapi,” jelasnya.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menubuhkan satu kumpulan kerja khas bagi menyelaras semula dasar serta melaksanakan tindakan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab serantau bagi kargo udara dan pemuatan.

Beliau berkata, kumpulan itu akan menangani beberapa kelemahan yang dikenal pasti sebagai punca kepada proses pemeriksaan kastam yang agak perlahan serta kapasiti kargo udara yang rendah di KLIA, yang menyebabkan pemain industri lebih cenderung menjalankan perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

“KLIA ini besar, tetapi mengapa kita hanya mengendalikan satu pertiga daripada jumlah kargo di Changi.

“Kita telah mengenal pasti beberapa kelemahan dari segi peraturan; proses pelepasan kastam kita lebih perlahan berbanding di Singapura, menyebabkan masa yang diambil untuk memuat dan memunggah kargo juga lebih lama,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN