fb fb fb fb fb

MOT perjelas isu pemilihan syarikat pemeriksaan kenderaan

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan bahawa sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan cadangan melalui proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober tahun lalu.

PUTRAJAYA, 10 Februari - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menegaskan bahawa kelayakan dan pemilihan syarikat untuk pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) mengikut garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta Pengakutan Jalan 1987 [Akta 333].

Kementerian itu menjelaskan bahawa sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan cadangan melalui proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, semua permohonan telah dinilai berdasarkan prosedur Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Tatacara Perolehan Secara RFP, yang telah berkuat kuasa sejak 29 November 2022.

"Pemilihan syarikat dibuat berdasarkan syarat kelayakan, prosedur, peraturan, dan standard yang telah dipaparkan di laman sesawang MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024.

"(Oleh itu) hasil penilaian oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati tiga syarikat yang terpilih memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan," katanya menerusi di Facebook hari ini.

Antara kriteria utama yang perlu dipenuhi oleh syarikat termasuk keperluan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) atau Berhad (Bhd.).

Syarikat juga perlu mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan dan modal pusingan tahunan sekurang-kurangnya RM5 juta.

"Selain itu, syarikat yang terpilih perlu mendapatkan sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran serta memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan dikeluarkan.

"Mereka juga perlu berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan," katanya.

Menurut MOT, tempoh pendaftaran dengan SSM tidak dijadikan sebagai syarat kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat.

Ini berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi.

Dalam aspek pemilihan lokasi pusat pemeriksaan, MOT dan JPJ telah menetapkan kawasan operasi berdasarkan konsep "cross subsidy" bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah.

"Konsep ini bertujuan untuk menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi strategik yang mempunyai jumlah pelanggan tinggi semata-mata, sekali gus memastikan akses kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan lebih menyeluruh di seluruh negara.

MOT turut menjelaskan bahawa surat tawaran kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari tahun ini adalah kelulusan bersyarat.

"Syarikat terbabit perlu memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.

"Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan. Pendekatan ini juga tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap kerajaan.

MOT menegaskan bahawa proses perolehan ini dilaksanakan secara telus dan mengikut tatacara perolehan serta kewangan yang berkuat kuasa.

"Ini bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, kompetitif dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN