
KUALA LUMPUR 4 Mac – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MIMOS Berhad memberi tumpuan kepada pembangunan reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan teknologi bernilai tinggi bagi meningkatkan kompleksiti ekonomi negara.
- MOSTI dan MIMOS fokus pembangunan reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan teknologi bernilai tinggi.
- MIMOS sediakan infrastruktur R&D, pengukuhan harta intelek, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
- Akademi MIMOS tawarkan latihan reka bentuk IC, fabrikasi wafer, kebolehpercayaan dan kecerdasan buatan untuk keperluan industri.
- Inisiatif pengkomersialan termasuk projek proof of concept, geran Cradle Fund dan kejayaan pengkomersialan program CIP serta MRANTI.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata pendekatan itu bertujuan membolehkan syarikat tempatan beralih kepada pembuat reka bentuk tulen (ODM) serta pemilik teknologi.
Menurut beliau, MIMOS menyediakan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengukuhan harta intelek, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong laluan daripada penyelidikan ke pengkomersialan dan penskalaan pasaran.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Nasional dan agenda Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV) dalam memperkukuh peralihan Malaysia kepada ekonomi berteraskan penciptaan serta pemilikan teknologi,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata latihan reka bentuk IC, fabrikasi wafer, kebolehpercayaan dan kecerdasan buatan (AI) turut disediakan melalui Akademi MIMOS bagi memenuhi keperluan tenaga mahir industri.
Melalui Pusat Teknologi Semikonduktor (STC) dan Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) di Kulim, MIMOS menyediakan kemudahan fabrikasi wafer, ujian IC, analisis kegagalan serta ujian kebolehpercayaan.
Sejak 2020 hingga 2025, ITIC menganjurkan 19 latihan teknikal dan seminar yang memberi manfaat kepada kira-kira 400 peserta daripada 60 penggiat industri dan akademia tempatan.
Selain itu, MIMOS melaksanakan beberapa projek “proof of concept” bersama syarikat elektrik dan elektronik (E&E) tempatan bagi mempercepat pengkomersialan inovasi serta memperkukuh rantaian nilai sektor semikonduktor. Setakat ini, lebih 1,400 paten telah difailkan, termasuk 330 dalam bidang semikonduktor.
Dalam perkembangan berkaitan, MOSTI melalui Cradle Fund Sdn Bhd menawarkan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan menerusi program CIP Spark dan CIP Sprint kepada syarikat pemula niaga tempatan.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 72 peratus penerima geran CIP Spark berjaya mengkomersialkan produk teknologi masing-masing, manakala kadar pengkomersialan CIP Sprint mencapai 100 peratus.
Sementara itu, sebanyak 101 produk berjaya dikomersialkan di bawah Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation sejak 2020 hingga 2025.
Bagi sektor aeroangkasa, Konsortium Industri Angkasa Malaysia sedang menjalin kerjasama strategik dengan Japan Aerospace Exploration Agency bagi meneroka pembangunan projek bersama. Konsortium itu turut melaksanakan misi eksplorasi perniagaan ke beberapa negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Türkiye.
Delegasi MASIC dijadual menyertai International Astronautical Congress di Antalya, Türkiye tahun ini sebagai sebahagian daripada penglibatan dalam ekosistem aeroangkasa antarabangsa.