Monsun Barat Daya dijangka bermula Khamis ini

Studio Jabatan Meteorologi Malaysia bagi operasi dan proses penyampaian ramalan cuaca secara langsung  / FB Malaysian Meteorological Department

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Barat Daya akan bermula pada 14 Mei ini dan berterusan sehingga September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar kelembapan rendah menyebabkan jumlah hujan lebih rendah dan lebih banyak hari tanpa hujan sepanjang Monsun Barat Daya.
  • Hujan lebat, angin kencang dan squall line boleh berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah, terutama awal pagi.
  • Risiko jerebu meningkat pada kemuncak monsun; elakkan pembakaran terbuka dan berjimat air; rujuk laman rasmi MetMalaysia atau hotline.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu susulan tiupan angin yang diramal mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.

Menurut jabatan itu, sepanjang musim berkenaan, kadar kelembapan udara lazimnya rendah sekali gus menyebabkan kurang pembentukan awan hujan di kebanyakan kawasan.

“Negara dijangka menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain, dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding hari hujan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah, terutama pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai atau squall line.

MetMalaysia menjelaskan fenomena itu merujuk kepada barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut China Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan akibat penumpuan angin, dan boleh berlarutan selama beberapa jam.

Menurut kenyataan itu lagi, ketika kemuncak Monsun Barat Daya antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan berpotensi berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mencegah kejadian jerebu yang boleh mencemarkan alam sekitar.

MetMalaysia turut menggesa orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh tersebut berikutan taburan hujan yang lebih rendah.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta platform media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.