
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memulakan lawatan kerja ke Jepun selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Oktober.
- Mesyuarat bilateral dengan Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi untuk memperkukuh hubungan pertahanan dan memperluas kerjasama berkepentingan kedua negara.
- Mesyuarat dengan Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi dan menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran OSA Kerajaan Jepun.
- Pertemuan dengan ATLA, lawatan ke syarikat pertahanan Toshiba, serta usaha meningkatkan persefahaman bagi menangani cabaran keselamatan serantau.
Menerusi perkongsian di Facebook,Datuk Seri Mohamed Khaled berkata agenda utama tertumpu kepada mesyuarat bilateral bersama Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi bagi memperkukuh hubungan pertahanan, sekali gus memperluas ruang kerjasama dalam bidang berkepentingan kedua negara.
Beliau turut dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, selain menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program ‘Official Security Assistance’ (OSA) Kerajaan Jepun.
Lawatan itu turut melibatkan pertemuan bersama ‘Acquisition, Technology & Logistics Agency’ (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba.
Kerjasama itu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada pertahanan negara tetapi turut meningkatkan persefahaman bagi menghadapi cabaran keselamatan serantau.
Terdahulu, ketibaan Datuk Seri Mohamed Khaled di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani serta Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim.
Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.