fb fb fb fb fb

Mohamad Hasan pimpin mesyuarat pertama SMCC di Arab Saudi

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan/Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula 10 hingga 14 Disember 2024.

Wisma Putra dalam kenyataan di Facebooknya berkata Datuk Seri Mohamad juga akan menghadiri mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC).

Beliau dijadual untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama rakan sejawatnya, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, Menteri Luar Negeri Arab Saudi.

"SMCC adalah satu mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama serta berfungsi sebagai badan penyelaras antara Malaysia dan Arab Saudi dalam lapan bidang utama termasuk politik, keselamatan, dan pertahanan.

Kedua-dua menteri juga akan menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU), mengenai kerjasama dalam bidang pembangunan sosial dan pengecualian visa untuk lawatan jangka pendek bagi pemegang pasport diplomatik, rasmi atau khas," kata kenyataan itu.

Lawatan itu mempamerkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai sektor untuk kepentingan kedua-dua negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM