fb fb fb fb fb

MMA gesa kawal selia TPA, bendung amalan tidak beretika

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar pengawalseliaan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) untuk membendung amalan tidak beretika daripada komersialisme.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, ketiadaan pengawalseliaan untuk TPA akan mengakibatkan peningkatan dalam kos penjagaan kesihatan, khususnya dalam khidmat penjagaan primer swasta.

"Memandangkan isu ini memberi kesan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada orang ramai, kami menyeru ahli Parlimen untuk menangani perkara itu dalam sesi sidang Parlimen akan datang," katanya.

TPA ialah organisasi pentadbiran swasta yang diupah oleh syarikat untuk menguruskan faedah kesihatan pekerja mereka dan orang tengah itu juga mendapat bayaran daripada caj kepada klinik pengamal perubatan am (GP) swasta untuk disenaraikan sebagai klinik panel.

Majoriti GP swasta bergantung kepada TPA untuk rangkaian pelanggan (syarikat) yang mereka sediakan dan perkhidmatan pentadbiran menguruskan pelbagai majikan (syarikat).

Menurut Dr Azizan, salah satu isu yang didedahkan ialah amalan pembahagian fi, TPA mengambil peratusan daripada jumlah bil dikenakan kepada pesakit yang membawa kepada peningkatan kos ditanggung dalam kalangan GP swasta dan pakar yang terlibat.

TPA diketahui memotong 10 hingga 15 peratus daripada jumlah bil yang boleh menjejaskan kemampanan klinik swasta dan kualiti penjagaan pesakit disediakan kerana doktor yang terlibat mungkin terpaksa membuat keputusan mengurangkan kos, malah pelarasan caj untuk menampung kerugian.

"Kami ingin mengingatkan semua pengamal perubatan swasta bahawa bawah garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), pembahagian fi adalah amalan tidak beretika," katanya.

Dalam pada itu Dr Azizan turut menyatakan isu lain seperti yuran pendaftaran yang tinggi sehingga RM5,000 hanya untuk disenaraikan sebagai klinik panel, pembayaran tertunda dan penolakan tuntutan, ketidakcekapan operasi, tidak telus dan isu penetapan harga dan had fi.

Untuk menyelesaikan isu berkenaan MMA mencadangkan kerajaan menangani pembahagian fi dalam kontrak, menubuhkan badan berwibawa untuk mengawal selia TPA dan menguatkuasakan amalan beretika dan menyeragamkan proses untuk mewujudkan sistem pendaftaran klinik bersepadu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI