PUTRAJAYA, 19 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan rakan sejawatannya Perdana Menteri China Li Qiang dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.
Li yang tiba di Malaysia semalam disambut oleh Anwar sebaik tiba pukul 12.38 di kediaman rasmi perdana menteri itu bagi lawatan rasmi selama tiga hari.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri menteri-menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Li sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Anwar di Perdana Putra bagi memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.