fb fb fb fb fb

MITRA umum tiga inisiatif, tingkat sosioekonomi masyarakat India B40

PUTRAJAYA, 5 Mei - Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengumumkan tiga inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA, Datuk R Ramanan, program tersebut merupakan inisiatif bagi membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat India B40.

Antara program tersebut termasuklah Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pelajar India di Universiti Awam, Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan juga Program Subsidi bantuan Dialisis.

Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pelajar India di Universiti Awam akan memanfaatkan seramai 10,000 orang pelajar yang akan menerima bantuan subsidi one-off bernilai RM2000.

Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) pula akan memanfaatkan 4,500 kanak-kanak dengan bayaran subsidi RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk 12 bulan.

Manakala Program Subsidi Dialisis, MITRA menyasarkan 900 pesakit kronik buah pinggang yang memerlukan bantuan melibatkan bayaran RM200 untuk satu sesi dialisis.

"Bantuan subsidi ini adalah untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun. Sebanyak RM8.64 juta telah diperuntukkan bagi Program Bantuan Dialisis tersebut. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pusat-pusat dialisis yang sedia ada." kata R Ramanan, di sini.

(R Ramanan bercakap dalam sidang media Pengumuman Program-Program Inisiatif MITRA, di sini)

Tambah beliau, kesemua program tersebut sudah dibuka permohonan dan boleh dimohon oleh kesemua masyarakat india B40 yang berkelayakan.

Media Baharu