fb fb fb fb fb

Tiga pesalah MH17 dihukum penjara, beri kelegaan kepada semua - PM

(Datuk Seri Ismail ditemui media di Kemayan, Bera)

BERA, 18 November- Malaysia berpuas hati dengan keputusan Mahkamah The Hague, Belanda semalam yang mendapati tiga individu bersalah dalam kes tembak jatuh pesawat MH17, lapan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kes itu menjadi satu tanda aras penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi tersebut serta kepada semua waris mangsa.

Tambah beliau, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa.

Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mesti berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.

"Malaysia juga sekali lagi menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

"Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah ini diharap sedikit sebanyak memberi kelegaan serta ketenangan kepada keluarga dan waris mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini," jelas beliau lagi.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32 di Kemayan, Bera,Pahang.

Mahkamah Daerah The Hague, semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan kru terbunuh.

(Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine mengakibatkan semua 298 penumpang dan kru terbunuh/AFP)

 

Berita berkaitan

MH17: Dunia tahu Rusia melindungi pembunuh- Australia

Waris mangsa MH17 akur keputusan Mahkamah Belanda

MH17: Mahkamah Belanda putuskan dua warga Rusia, seorang warga Ukraine bersalah

Media Baharu