KUALA LUMPUR, 9 Disember - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan agar beberapa perkara berkaitan reformasi institusi diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mendalami serta meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung baru-baru ini.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar bersama ahli Majlis Presiden PH juga membincangkan isu berkaitan urus tadbir kerajaan serta perkembangan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Ini termasuk pelaksanaan manifesto serta hala tuju reformasi institusi sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Majlis Presiden PH turut memutuskan agar satu Konvensyen PH diadakan pada suku pertama 2026 bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta hala tuju negara untuk tempoh dua tahun akan datang.