MIRI, 9 Disember - Dua remaja lelaki warga Indonesia dilaporkan lemas dibawa arus deras ketika sedang mandi di parit Ladang Surai, Simpang Lapok, Jalan Beluru–Long Teru, petang tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.10 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.
Siasatan awal mendapati dua mangsa lelaki, bersama beberapa rakan lain, sedang mandi di parit di ladang berkenaan sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
"Sebelum ketibaan pasukan bomba, penduduk menemukan salah seorang mangsa yang tidak bernyawa, Aidil berusia 20 tahun.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bekenu untuk tindakan lanjut," menurut JBPM.
Manakala seorang lagi mangsa, Irfan, 18 tahun, masih hilang dan operasi pencarian dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi.
Pihak Bomba menjalankan pencarian mangsa di sekitar kawasan parit menggunakan kaedah ‘sweeping’ dalam radius 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Operasi ditangguh pada pukul 6.35 petang dan akan disambung semula esok.