KUALA LUMPUR, 10 Disember - Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Mesyuarat berkenaan merupakan mesyuarat bulanan biasa dan turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang telah diadakan pada 29 November lepas.
Sebelum mesyuarat bermula, kepimpinan parti mengadakan tahlil ringkas sebagai mengenang jasa Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia Jumaat lepas.
Allahyarham Datuk Bung Mokhtar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, beberapa hari selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri oleh Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.