fb fb fb fb fb

Menu Rahmah: Makanan Seimbang pada harga rendah

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

BANGI, 27 Januari- Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah bakal diperkenal tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup; Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata menu itu dikhususkan buat golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak pada harga munasabah.

Katanya, Menu Rahmah merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur.

Beliau berkata,inisiatif bakal dilaksanakan menerusi kerjasama KPDN dengan pengusaha restoran yang dijangka dimuktamad minggu depan.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin
Ayub ketika jelajah mesra dan pemeriksaan Ops Menu di Bangi)

"Kita prihatin kepada golongan miskin tegar ini, jadi menu ini saya cadangkan setakat ini, semua persatuan-persatuan dan pengusaha terbabit bersedia mewujudkan menu dengan harga diusulkan.

"Peranan kementerian ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup," katanya selepas  jelajah mesra dan pemeriksaan Ops Menu di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan Ops Menu 3.0 yang bermula pada 23 Jan lepas, Salahuddin berkata sebanyak 614 premis makanan diperiksa di seluruh negara.

"Sembilan tindakan dikenakan kepada peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011

“Bagaimanapun  kerajaan mahu elak kenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha premis makanan, jadi saya harap pengusaha premis dapat patuhi undang-undang dan beri kerjasama,” katanya.

AKHAP memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat manakala bagi individu, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media Baharu