fb fb fb fb fb

Menteri Besar Pahang umum portfolio EXCO Pahang

PAHANG, 14 Disember- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan Portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang Bagi Penggal Ke-15,
di Kuantan.

Selain berperanan sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri Jelai itu turut memegang portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air; selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, (duduk di tengah-tengah) ketika sidang media di sini hari ini)

Menurutnya, dua Ahli Dewan Negeri dari Pakatan Harapan iaitu Sim Chon Siang dilantik memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia; manakala Leong Yu Man akan memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Muka baharu melibatkan Ahli Dewan Negeri Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib yang juga anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pula diberi tanggungjawab memegang portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

Dalam sidang media itu, Datuk Seri Wan Rosdy berkata, ini merupakan masa yang tepat untuk membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan.

“Saya mengharapkan agar kesemua bansan EXCO Kerajaan Negeri Pahang dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing serta bekerjasama sebagaI satu pasukan yang mantap, bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar hasrat untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju akan tercapai," katanya.

Beliau turut menzahirkan harapannya, supaya rakyat Pahang dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Negeri yang baru dibentuk, demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

Dalam pada itu katanya, sesi pertama sidang Dewan Negeri akan berlangsung pada 29 Disember ini.

2 Disember lalu, 10 Ahli Dewan Negeri Pahang mengangkat sumpah jawatan dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang, di Istana Abu Bakar, Pekan.

Media Baharu