KUALA LUMPUR, 19 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar melakukan tinjauan mengejut ke Bangunan Tabung Haji (TH) bagi melihat sendiri proses operasi dan dokumentasi bakal jemaah haji yang akan berlepas tidak lama lagi.
Beliau telah meninjau Unit Pasport dan Visa Tabung Haji, unit yang penting dalam pengurusan proses dokumentasi visa, pasport, pembahagian tempat penginapan serta penerbangan bakal jemaah haji.
"Saya rasa yang paling penting ialah kesiapsiagaan kakitangan TH dan tahap komited mereka dapat kita lihat dalam menguruskan visa, memastikan permohonan jemaah haji ini untuk mendapatkan visa berjalan dengan lancar.
Kita nampak macam mudah tapi bila ia melibatkan dua negara antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi, di situ kita nampak ada sedikit cabaranlah," kata Dr. Naim kepada pemberita di ibu negara.
(Foto FB Menteri)
Tambahnya lagi, warga kerja TH telah bekerja selama 24 jam dengan sistem giliran bagi memastikan kelancaran perjalanan bakal jemaah Haji Malaysia ke tanah suci pada 21 Mei ini.
Bukan itu sahaja, beliau turut menekankan bahawa proses menguruskan dokumentasi haji tidaklah semudah yang disangka dan ia memerlukan kesabaran dan penelitian rapi kerana melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat buat semua warga kerja TH yang komited menjalankan amanah dan tanggungjawab demi memudahkan proses bakal jemaah haji.