DUYONG, 17 Januari- MelakaFM mendekati pendengar setianya di negeri itu dengan Program Mesra Santai di warung-warung pilihan.
Acara bulanan berkonsepkan santai itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dengan pembabitan semua juruhebah stesen radio itu.
Penerbitnya Siti Rubiah Abu Siran menyifatkan program tersebut dapat mengeratkan silaturahim selain memberikan informasi kepada masyarakat sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024).
"Program ini selain kita mendekati pendengar-pendengar di kawasan-kawasan maknanya kalau radio ini bukan sahaja menerusi frekuensi tetapi kita berperanan untuk turun mendekati pendengar-pendengar kita di lokasi terpilih.
"Kita juga membawa artis-artis kelahiran melaka untuk bersama sama mempromosikan MelakaFM dan juga negeri Melaka kepada semua," katanya kepada pemberita di sini.
Selain mendekati pendengar, program santai itu juga mampu memperkenalkan destinasi pelancongan makanan yang menarik di Melaka.
Bagi pemilik warung yang juga pendengar setia MelakaFM Mohd Khairul Zaman Abu Samah turut berbangga kerana terpilih sebagai lokasi pilihan stesen itu.
"Di warung pun memang kita hiburkan pelanggan dengan MelakaFM. Terima kasih kerana sudi ke warung kami, semoga seluruh penduduk Melaka ini mendengar MelakaFM," katanya.
Acara itu juga mengetengahkan seni budaya Negeri Melaka seperti Pantun Warisan dan Dondang Sayang.