MERLIMAU, 4 Disember- Kerajaan Negeri Melaka merangka beberapa inisiatif bagi menjaga kebajikan nelayan di negeri itu.
Ia termasuk pemberian bot dan kapasiti enjin yang lebih besar kepada mereka seterusnya memperluas kawasan tangkapan ikan khasnya di kawasan terjejas tambakan pasir.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perbincangan bersama syarikat konsesi penambakan laut telah dijalankan untuk melihat bantuan yang boleh diberikan kepada nelayan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepertimana dijanjikan sebelum ini.
Katanya, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk usaha itu. Beliau akan memastikan perkara itu tercapai dan kebajikan nelayan negeri itu sentiasa terpelihara.
"Antara inisiatif baru yang kita lihat, terutama nelayan-nelayan yang terlibat dengan kawasan tambakan laut kita sedang meneliti aia yang telah dipersetuji oleh pengusaha tambak laut ini untuk kita lihat bagaimana mereka ini dari segi CSR sebab melalui aia dia ada klausa-klausa jadi kita sedang lihat", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Insentif Sara Hidup Sekali Beri kepada Nelayan Negeri Melaka di Merlimau.
Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memberi fokus kepada industri akuakultur termasuk bantuan yang boleh diberikan untuk memperluas industri berkenaan di Melaka.