MELAKA, 28 Oktober – Melaka memulakan langkah awal untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menjadi tuan rumah bagi Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata WTD 2025 akan disertai oleh menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia, memberikan peluang besar untuk mempromosikan sektor pelancongan Malaysia.
Katanya, persediaan bagi acara tersebut akan dimulakan pada Januari 2025.
"Melaka akan menggunakan platform WTD dan forum pelancongan ini sebagai instrumen menarik pelancong pada tahun depan. Pelbagai aktiviti akan digerakkan lebih awal seawal Januari," katanya selepas Majlis Perasmian Pesta Deepavali 2024 Peringkat Negeri Melaka di Padang Nyiru, Little India, di sini pada Ahad.
Bagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), Ab Rauf berkata beberapa penambahbaikan sedang dilakukan untuk mencapai sasaran 18 juta pelancong.