fb fb fb fb fb

Melaka keluarkan 1,500 kampit Beras Melaka setiap bulan mulai tahun depan

Gambar hiasan

MELAKA, 9 Disember – Sebanyak 1,500 kampit Beras Melaka akan dikeluarkan setiap bulan mulai tahun depan, susulan kejayaan projek penanaman padi negeri itu yang telah menghasilkan lebih 12,000 kampit sejak Mac lalu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata peningkatan kapasiti pengeluaran itu dibuat selepas projek berkenaan membuktikan hasil yang konsisten selain menerima peruntukan kerajaan negeri.

“Peruntukan RM300,000 yang diumumkan dalam bajet lalu akan memastikan projek benih padi negeri dapat diteruskan sekali gus menjamin kesinambungan pengeluaran Beras Melaka,” katanya.

Beliau berkata peruntukan itu membolehkan kerajaan negeri menyasarkan minimum 1,500 kampit dikeluarkan setiap bulan.

“Kesemua Beras Melaka ini akan dipasarkan di outlet Farmers serta di pasar tani bagi memastikan ia mudah diperoleh pengguna,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pengeluaran Beras Melaka kekal berterusan melalui sokongan bajet dan kesinambungan projek penanaman padi.

GRACE AISYAH KEDAYAN