
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Kod kawal selia terhadap kandungan dalam talian termasuk hantaran berbayar atau sponsored post, antara fokus utama instrumen subsidiari yang sedang dirangka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- Platform perlu melaksanakan tapisan awal terhadap kandungan berisiko seperti aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian.
- Banyak kandungan penipuan diedarkan melalui hantaran berbayar yang dipromosikan kepada pengguna.
- Kod kandungan dicadangkan bagi menghalang platform menerima bayaran pihak terbabit untuk menaja atau meningkatkan capaian kandungan penipuan.
Langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan platform melaksanakan tapisan awal terhadap kandungan berisiko, khususnya berkaitan kegiatan perjudian dan penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pihaknya mendapati sebahagian kandungan berkaitan penipuan di platform digital disebarkan melalui hantaran berbayar yang dipromosikan kepada pengguna.
“Banyak hantaran yang kita lihat sebenarnya adalah sponsored post. Ini bermakna platform menerima bayaran iklan daripada pihak yang menjalankan penipuan untuk menyebarkan kandungan tersebut kepada pengguna dalam talian.
Sebab itu kita sedang menyiapkan satu kod kandungan bagi memastikan platform tidak dibenarkan menerima bayaran daripada pihak yang terlibat dalam penipuan untuk menaja atau meningkatkan capaian kandungan mereka kepada pengguna di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator S. Vell Paari di Dewan Negara.
Kod kawal selia yang sedang dirangka itu dijangka membantu memperkukuh usaha kerajaan dalam mengekang penyebaran kandungan berunsur penipuan serta melindungi pengguna internet di negara ini.