KUALA LUMPUR, 19 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal memperkenalkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi perkhidmatan kurier bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna serta mewujudkan persaingan sihat dalam industri, termasuk mengelakkan penetapan harga perkhidmatan yang bersifat predatori.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata garis panduan tersebut akan berfungsi sebagai rujukan kepada pemegang lesen dalam menetapkan harga perkhidmatan mereka, namun ia bukan harga minimum yang wajib dipatuhi.
“Garis Panduan Harga Rujukan ini merupakan panduan harga yang boleh dikenakan oleh pemegang lesen kepada pelanggan mereka, namun ia bukanlah harga minimum yang mandatori.
“Ia merupakan kaedah kawal selia kendiri industri di mana penetapan kadar harga perkhidmatan kurier masih terpulang kepada pihak industri berdasarkan kos yang efisien, selari dengan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012,” katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, di Parlimen.
Menurut Nie Ching, persaingan sihat dan penawaran harga yang kompetitif dalam kalangan syarikat kurier memberi kuasa kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan terbaik.
Dalam masa yang sama, kementerian melalui MCMC sentiasa mengutamakan kepentingan pengguna dengan memantau kadar harga perkhidmatan yang ditawarkan.
Terdahulu, industri kurier negara mencatat peningkatan ketara daripada 52 juta jumlah bungkusan pada tahun 2015 kepada lebih 899 juta bungkusan sehingga suku ketiga tahun 2024.