fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 pegawai perubatan siswazah dilantik di HLS seluruh negara

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Seramai 3,316 pegawai perubatan siswazah (PPS) telah dilantik dan ditempatkan di Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara bagi menjalani latihan perubatan dalam usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata semua PPS yang dilantik telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan akan menjalani latihan di hospital yang telah ditetapkan.

"Bagi tahun 2025, Kementerian Kesihatan menyasarkan pelantikan seramai 3,000 pegawai perubatan siswazah yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah daripada keseluruhan 150 hospital di negara ini.

"Daripada jumlah tersebut, mereka akan ditempatkan di 49 hospital ini bagi suku pertama tahun 2025," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik 1,114 pegawai perubatan secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di HLS seluruh negara.

Menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau, di Parlimen, Dr. Dzulkefly turut menjelaskan bahawa pelantikan PPS kini dilaksanakan sebanyak enam kali setahun bagi setiap sesi pengambilan, berbanding tempoh menunggu lebih setahun sebelum ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD