
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kekal stabil sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
- Langkah MCMC sebahagian usaha memperkukuh rangkaian dan operasi komunikasi bagi memastikan perkhidmatan komunikasi lancar sepanjang musim perayaan.
- Sejak awal Mac, 866 inisiatif pengukuhan sementara dilaksanakan termasuk 774 kerja pengoptimuman dan 27 pengaktifan atau modenisasi rangkaian 5G.
- Sebanyak 21 penyelesaian sementara seperti PBTS, CoW, MBTS dan MCV digerakkan untuk menambah sokongan liputan di lebuh raya, R&R dan destinasi tumpuan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan telco turut dikehendaki mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.
“Bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, semua telco telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh rangkaian dan operasi komunikasi bagi memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar sepanjang musim perayaan.
Sejak awal Mac, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan di seluruh negara bagi menampung peningkatan penggunaan, termasuk 774 kerja pengoptimuman rangkaian dan 27 pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G.
Selain itu, sebanyak 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) turut digerakkan bagi menambah sokongan liputan di kawasan tumpuan.
Usaha berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka mengalami peningkatan trafik komunikasi tinggi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta destinasi pelancongan.
MCMC turut memaklumkan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.
Orang ramai disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan cepat dan berkesan.