KOTA TINGGI, 22 Julai - Mayat kedua mangsa lemas di Pantai Batu Layar, di sini pada Ahad ditemui kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Mohammad Saifulizam Mohd Rofi berkata pihaknya menemukan mayat Haqim Abdul Rahim Lee, 20, tersangkut di celah batu di pantai itu.
“Pasukan penyelamat membuat pencarian lebih kurang dua kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat," katanya menerusi kenyataan.
Pada Ahad, media melaporkan dua lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi dan berkelah di pantai berkenaan pada pukul 9.38 pagi.
Mayat pertama, Muhammad Syahmie Zamzam, 26 ditemui pada pukul 3.20 petang semalam pada jarak 100 meter dari pantai tersebut.
Operasi pencarian melibatkan polis, Maritim Malaysia, Majlis Perbandaran Pengerang dan orang awam.