
ALOR SETAR, 25 Februari- Mayat seorang juru X-ray ditemukan terapung di sungai berhampiran Masjid Seberang Pumpong, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pagi tadi.
- Mayat ditemui orang awam pada waktu pagi berhampiran Masjid Seberang Pumpong.
- Mangsa Nurul Nadia Aziz, 39, bekerja sebagai juru X-ray di klinik kesihatan Jitra.
- Dia mempunyai sejarah penyakit mental dan masih menerima rawatan hospital.
- Bedah siasat dijangka dijalankan petang ini atau selewat-lewatnya esok untuk tentukan punca kematian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata mayat Nurul Nadia Aziz, 39, ditemukan orang awam pada 8.27 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan temu bual dengan bapa mangsa, wanita itu yang juga ibu tunggal bekerja sebagai juru-X-ray di sebuah klinik kesihatan di Jitra serta mempunyai sejarah penyakit mental dan masih menerima rawatan hospital,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata waris turut memaklumkan kali terakhir bersama wanita itu adalah pada 7.31 malam semalam ketika berbuka puasa bersama keluarga.
Syed Basri berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh badan wanita itu yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.
“Wanita itu menjadi ibu tunggal sejak 2023 dan mempunyai tiga anak lelaki yang kini dijaga bekas suaminya di Kulim,” katanya.
Tambah beliau, bedah siasat dijangka dijalankan petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi mengenal pasti punca kematian wanita itu.