
PUTRAJAYA, 20 Januari -Kemasukan murid ke darjah satu pada usia enam tahun bukan suatu paksaan, sebaliknya peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak yang telah menunjukkan tahap kesediaan.
- Kemasukan darjah satu pada usia enam tahun adalah pilihan berdasarkan kesediaan kanak-kanak, bukan paksaan.
- KPM akan jalankan ujian diagnostik mulai 2027 untuk kenal pasti keupayaan, persediaan dan keperluan murid.
- Kementerian membuat unjuran keperluan guru dan menilai prasarana, sambil kekalkan pengukuhan kurikulum kebangsaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara itu bertujuan memberi pilihan kepada ibu bapa.
Menurut beliau, ibu bapa perlu menilai sendiri kesediaan anak masing-masing sebelum membuat keputusan.
Bagi menyokong pelaksanaan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan ujian diagnostik bagi mengenal pasti keupayaan, tahap persediaan serta keperluan murid sebelum kemasukan ke darjah satu bermula tahun 2027.
“Kita mahu yakinkan ibu bapa bahawa tidak semua kanak-kanak perlu masuk lebih awal. Yang penting ialah kesediaan anak.
Ujian diagnostik ini membantu mengenal pasti kekuatan dan keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Fadhlina turut memaklumkan, KPM sedang membuat unjuran keperluan guru serta menilai aspek prasarana sekolah, susulan jangkaan pertambahan kohort murid.
Selain itu, kementerian juga sedang mengumpul data bilangan kanak-kanak berusia enam tahun di seluruh negara sepanjang tahun ini.
“Ibu bapa yang mendapati anak sudah bersedia boleh meneruskan pendaftaran, manakala yang belum bersedia tidak perlu tergesa-gesa,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan pengukuhan kurikulum kebangsaan, termasuk Bahasa Melayu dan Sejarah, akan terus dilaksanakan tanpa kompromi di semua aliran sekolah.
Langkah itu bagi memperkukuh jati diri, perpaduan dan identiti nasional.