KUANTAN, 5 September- Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar masjid dan surau di seluruh negeri dijadikan pusat menimba ilmu dengan mengadakan pengajian al-Quran untuk kanak-kanak serta golongan dewasa.
Baginda menegaskan inisiatif itu penting bagi memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan umat Islam.
"Saya mengambil kesempatan menyeru agar setiap masjid dan surau di negeri Pahang ini tidak sekadar menjadi tempat bersujud, tetapi pusat penyuburan ilmu dan cahaya al-Quran.
"Jadikan rumah Allah itu madrasah yang mengangkat darjat masyarakat serta melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berhikmah," titah baginda.
Sultan Pahang turut menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir pihak yang menjadikan agama dan bangsa sebagai alat politik untuk meraih kuasa.
Baginda menegaskan kenyataan yang mencabar titah raja dan pemerintah tidak wajar kerana boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian negara.
Baginda bertitah demikian pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 1447H/2025M di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini. Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pada majlis itu, bekas guru mengaji dan guru agama Sultan Pahang, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al Hafiz dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pahang 2025. Beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 2,000 peserta mewakili 23 kontinjen dalam perarakan.