KUALA LUMPUR, 26 April- Pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) akan dipertimbangkan pihak berkuasa.
Ia bagi mengelak kejadian itu berlaku di kawasan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, selain itu pemasangan kanvas turut dilakukan untuk memastikan kawasan runtuhan dan lokasi berhampiran stabil.
"Kita akan bincang, apakah hasil mesyuarat dan bila penanaman cerucuk akan dilaksanakan. Bagaimanapun, perkara ini serius dan akan diambil tindakan segera.
"Setakat ini arahan kedua-dua bangunan itu akan ditutup sementara, pukul 3.00 petang nanti saya akan berjumpa dengan semua agensi teknikal dan penyelamat untuk berbincang dengan teliti. Selepas itu saya akan buat sidang media pukul 5.30 petang,"katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan masih terdapat runtuhan kecil yang masih berlaku di kawasan terbabit.
Katanya, terdapat beberapa runtuhan dipercayai berlaku pada pukul 10.00 malam dengan sedikit pergerakan tanah mengenai kawasan pagar MACA.
Tambahnya, polis percaya antara faktor insiden tanah runtuh ini ialah disebabkan terdapat aliran air yang ditemui semalam dan takungan air atau mendapan.
Beliau berkata selepas melawat kawasan runtuhan di hadapan akademi itu yang di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di Jalan Duta.
(Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai)