fb fb fb fb fb

Empat warga tempatan lakukan rompakan di laut berjaya ditahan

KOTA TINGGI, 26 April - Empat warga tempatan yang melakukan rompakan berkumpulan di pelantar Aurora Producer Satu, 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat, berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Rompakan laut pertama membabitkan warga tempatan itu disyaki berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4.35 pagi semalam.

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, sebuah bot ronda diarah ke lokasi sebaik menerima aduan.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek menenggelamkan bot gentian kaca dan berpaut pada tiang pelantar, sebelum keletihan dan kemudian terjun ke laut.

"Suspek telah bertindak menyerang dengan menumbuk muka salah seorang mangsa (kru pelantar) dan mengancam mereka dengan senjata tajam, kemudian mereka telah mengikat kakinya, tangan dan mulut serta dikurung dalam sebuah kabin di atas pelantar," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili, di sini.


(Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim)

Dua kru warga tempatan berusia 24 dan 32 tahun disyaki mangsa rompakan berjaya membuka ikatan dan bersembunyi, selepas dua jam terkurung.

Suspek turut mencuri telefon bimbit kedua-dua mangsa.

Operasi mencari bot gentian kaca yang ditenggelamkan masih giat dilakukan.

Kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 29 April dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan.

Media Baharu