KUALA LUMPUR, 18 April- Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan melibatkan destinasi antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.
MAS dalam hantaran di laman sosial memaklumkan syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa penerbangan terjejas dan menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan terkini dan saranan perjalanan masing-masing.
“Pembatalan penerbangan pada 18 April 2024 berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang. Berikutan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak.
"Memandangkan situasi boleh berubah, Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan dengan teliti. Kemas kini lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini di sini (media sosial) dan disampaikan secara terus kepada pelanggan terjejas.
"Pada masa sama, syarikat penerbangan itu turut memaklumkan, bahawa mereka sedang berusaha untuk menampung penumpang terjejas disebabkan pembatalan penerbangan dengan penerbangan alternatif sebaik situasi semakin bertambah baik.
"Penumpang digesa untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui Tempahan Saya di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini yang tepat pada masanya melalui e-mel dan SMS,” menurut hantaran itu.
Penerbangan yang terjejas adalah seperti berikut:
Ke/dari Sabah
· MH7420 (KUL-TWU)
· MH7421 (TWU-KUL)
· MH2612 (KUL-BKI)
· MH2621 (BKI-KUL)
· MH2710 (KUL-SDK)
· MH2711 (SDK-KUL)
· MH2610 (KUL-BKI)
· MH2611 (BKI-KUL)
· MH7404 (KUL-BKI)
· MH7405 (BKI-KUL)
Ke/dari Sarawak
· MH2520 (KUL-KCH)
· MH2513 (KCH-KUL)
· MH2542 (KUL-KCH)
· MH2543 (KCH-KUL)
· MH2574 (KUL-MY)
· MH2575 (MYY-KUL)
· MH2742 (KUL-BTU)
· MH2743 (BTU-KUL)
Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan pula berkata lapan daripada penerbangan berjadual antara KLIA dan Tawau telah dibatalkan. Turut dibatalkan adalah lapan penerbangan antara KLIA dan Kota Kinabalu, menjadikan sebanyak 16 penerbangan terjejas melibatkan laluan antara KLIA, Kota Kinabalu dan Tawau.
Menurut syarikat itu, pihaknya telah memaklumkan kepada semua penumpang terjejas, manakala penumpang dalam perjalanan ke atau dari destinasi terkesan digalakkan untuk menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka untuk pemberitahuan mengenai pembatalan.
“Para tetamu AirAsia yang melakukan perjalanan ke/dari destinasi terjejas digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus. AirAsia akan terus memantau situasi gunung berapi Gunung Ruang dan akan memberikan lebih banyak maklumat perkembangan terkini,” kata kenyataan itu.