fb fb fb fb fb

MARA sasar potensi jualan cecah RM100 juta pada MIHAS

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

DUBAI, 16 November- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk meraih potensi jualan mencecah RM100 juta melalui penyertaan 17 usahawan Program Gate to Global (GTG) pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) @ Dubai 2024.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pameran itu menyediakan peluang besar kepada usahawan mempromosikan produk serta meneroka pasaran luar dengan menjadikan Dubai sebagai gerbang untuk menembusi negara Timur Tengah.

Usahawan GTG yang turut serta dalam pameran itu menawarkan produk makanan dan minuman serta berasaskan kesihatan.

"Apabila masuk ke peringkat antarabangsa seperti ini kita bukan saja mahu pendedahan tetapi kita juga mahu potensi jualan. Jadi sebab itu kita mahukan peningkatan jualan sebanyak 20-30 peratus daripada apa yang mereka ada.

"Mereka ini bukan syarikat-syarikat baru yang bertapak tetapi mereka sudah ada produk dan ada dalam pasaran domestik. Ada juga produk yang sudah berada di peringkat antarabangsa melebihi pasaran domestik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena penganjuran MIHAS @ Dubai 2024 di sini.

Jelasnya, setakat ini GTG telah melahirkan 218 usahawan dan berjaya menjana hasil jualan bernilai 394 juta ringgit dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ia diadakan sempena Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 Nov, 2024 di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan Mihas@Dubai 2024, pada Isnin ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI