Mangsa ribut di Taiping berkurangan

Foto BERNAMA

IPOH, 25 Februari – Jumlah mangsa terjejas akibat ribut dan pokok tumbang di Taiping mencatatkan penurunan kepada 30 orang setakat pagi ini berbanding 92 orang, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah mangsa terjejas di Taiping menurun kepada 30 orang daripada 22 keluarga, ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Kaya.
  • Kesemua mangsa berasal dari Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang dan Batu 2 ½.
  • Ribut menyebabkan kerosakan termasuk pokok tumbang, bumbung diterbangkan dan premis perniagaan serta khemah bazar rosak.
  • MetMalaysia meramalkan hujan dan ribut petang ini melibatkan beberapa daerah di Perak termasuk Larut, Matang, Selama dan kawasan sekitarnya.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan kesemua mangsa daripada 22 keluarga itu ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Kaya dalam daerah Larut, Matang, Selama semalam.

“Kesemua mangsa adalah penduduk dari Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang dan Batu 2 ½,” menurut sekretariat dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kejadian ribut telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuk rumah ditimpa pokok, bumbung diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuh serta kerosakan khemah bazar Ramadan.

Susulan itu, mangsa yang terlibat tidak dapat memasuki kediaman masing-masing kerana kerja-kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memaklumkan beberapa daerah di Perak diramal mengalami hujan dan ribut di sebelah petang membabitkan kawasan Larut, Matang, Selama, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim. — BERNAMA