fb fb fb fb fb

Manfaatkan Unit MyMudah tarik lebih banyak pelabur

KUANTAN, 9 April- Kerajaan negeri termasuk agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta supaya terus memberi kerjasama dalam memanfaatkan Unit Malaysia Mudah atau MyMudah yang dilaksanakan bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Inisiatif tersebut dilihat dapat membantu menarik lebih ramai pelabur sekali gus melonjakkan status produktiviti dan daya saing.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelaksanaan MyMudah mampu mengurangkan beban peraturan tidak wajar kepada peniaga.

"Bertujuan memudahkan urusan perniagaan agar dapat memberi kelelbihan kepada kerajaan negeri dalam menarik lebih banyak pelabur ke dalam negeri.

"Jadi dengan memudahkan urusan perniagaan, pertumbuhan ekonomi tempatan akan dapat ditngkatkan dan pada masa sama peluang pekerjaan akan diwujudkan bagi anak tempatan," kata Mohd Zuki ketika berucap bersempena Persidangan MyMudah 2023 Peringkat Negeri Pahang di sini.

(Tan Sri Mohd Zuki berkata kerajaan negeri termasuk agensi dan PBT diminta supaya terus
memberi kerjasama dalam memanfaatkan MyMudah yang dilaksanakan bawah MPC)

Tambah beliau, pelaksanaan unit tersebut dapat membantu kerajaan negeri memantapkan lagi ekosistem perniagaan.

Dalam masa sama, Insiatif Bitara MADANI turut dilaksanakan dengan fokus utama memberi keselesaan kepada orang ramai.

Antaranya menggurangkan kesesakan di hospital, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) serta pembangunan sekolah daif di seluruh negara.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Pahang merupakan negeri pertama di wilayah Pantai Timur yang menubuhkan Unit MyMudah.

Pelaksanaan inisiatif itu melibatkan 100% Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri.

Sehingga kini, sebanyak 174 unit MyMudah telah ditubuhkan dengan melibatkan 19 kementerian, 59 agensi, 4 kerajaan negeri, 18 agensi kerajaan negeri, 22 PBT dan 52 persatuan perniagaan.

Media Baharu